Taufan Haiyan Mayat Reput Mula Dikebumi


Tacloban – Mayat mangsa Taufan Haiyan yang sudah mulai reput dikumpulkan untuk pengebumian beramai-ramai semalam, manakala mangsa terselamat terus merayu untuk bantuan selepas bencana taufan yang melanda negara itu.

Ketibaan kapal pengangkut pesawat USS George Washington, bersama 5,000 tentera, memberi harapan kepada mangsa yang lapar dan dahaga di bandar raya Tacloban yang musnah.

Hampir seminggu selepas Taufan Haiyan membadai Filipina dan memusnahkan penempatan dan membawa sampah-sarap di kawasan yang sudah sedia teruk itu, bau busuk mayat mula memenuhi ruang udara.

“Saya dapat rasakan kita mengecewakan penduduk,” kata ketua bantuan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Valerie Amos yang melawat Tacloban.

Terdesak dapatkan bantuan

“Mereka yang dapat meninggalkan kawasan ini sudah melakukannya.

Ramai yang cuba. Mereka terlalu terdesak untuk mendapatkan bantuan.
“Kita perlu mendapatkan bantuan untuk mereka sekarang.

Penduduk mendakwa mereka menunggu terlalu lama sebelum bantuan tiba. Memastikan penghantaran cepat menjadi keutamaan kita,” katanya kepada pemberita di Manila.

Lebih 200 mayat diletakkan di sebuah bangunan kerajaan dijangka akan dikebumikan secara beramai-ramai.

“Terlalu banyak mayat di kebanyakan kawasan. Ia menakutkan,” kata Datuk Bandar Tacloban, Alfred Romualdez sambil menambah pihak berkuasa cuba menangani masalah itu.

Maklum balas perlahan

“Ada permintaan daripada satu kumpulan penduduk untuk mengumpulkan lima hingga 10 mayat dan apabila kami ke sana, ada 40 mayat,” kata Romualdez sambil menambah maklum balas terhadap krisis terbabit terlalu perlahan.

Enam hari selepas Taufan Haiyan membadai, Presiden Barack Obama menggesa rakyat Amerika Syarikat menderma untuk negara bekas jajahan mereka itu. AFP

Share this article :

Posting Komentar

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cun blog - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger