Riyadh – Sebuah pergerakan Islam, Ansar al-Shariah, mengumumkan pembentukan cawangan kumpulan mereka di Mesir dan menegaskan bahawa tindakan tentera menggulingkan Presiden Mohamed Mursi adalah perisytiharan perang ke atas agama Islam.
Pergerakan itu turut mengancam menggunakan kekerasan jika perlu bagi melaksanakan undang-undang Islam.
Dalam satu kenyataan internet kepada forum bagi militan Mesir di Sinai yang dirakamkan oleh Pertubuhan Pemantau SITE, Ansar al-Shariah berkata, mereka akan mengumpulkan senjata dan memulakan latihan dikalangan anggotanya.
Gabungan pemberontak
Ansar al-Shariah dibentuk ketika perang saudara di Libya dan semakin kukuh selepas kematian pemimpin negara itu Muammar Gaddafi.
Pergerakan itu adalah gabungan beberapa kumpulan pemberontak termasuk Briged Abu Obayda Bin Aljarah, Briged Malik, Briged 17 Februari dan banyak lagi.
Tindakan ketenteraan yang disokong oleh perhimpunan besar-besaran di seluruh Mesir mencetuskan kebimbangan bahawa puak Islam akan menggabungkan kumpulan yang diiktiraf secara rasmi seperti Ikhwanul Muslimin di bawah Mursi dan ia disifatkan lebih kepada pergerakan militan.
Pengusiran Mursi sudah mencetuskan keganasan. Sekurang-kurangnya 26 orang mati apabila kumpulan Islamis berarak di jalanan di Kaherah dan bandaraya lain pada Jumaat bagi menyuarakan kemarahan mereka dalam apa yang disifatkan mereka sebagai satu rampasan kuasa tentera.
Mursi dipilih sebagai presiden tahun lalu selepas satu revolusi popular yang menggulingkan pemimpin Hosni Mubarak.
Lantik pemimpin sementara
Tentera melantik seorang pemimpin sementara dan mengumumkan satu pelan peralihan yang tidak mempunyai jangka masa bagi pilihan raya.
Ia turut menahan anggota kanan Ikhwanul Muslimin dan menutup stesen televisyen puak Islam.
“Ansar al-Shariah dalam kenyataan mereka menyifatkan kuasa tentera, penutupan rangkaian televisyen dan kematian penunjuk perasaan Islamis semuanya adalah membawa kepada satu perisytiharan perang menentang Islam di Mesir,” lapor SITE.
Kumpulan terbabit menyalahkan peristiwa berkenaan kepada sekularis, penyokong Mubarak dan Kristian Mesir, pasukan keselamatan negara dan komander tentera yang disifatkan mereka menyebabkan negara bertukar menjadi sebuah sekular perampas.
“Ia turut mengecam demokrasi dan berkata sebaliknya hanya undang-undang Islam atau syariah akan menang, beroleh senjata dan melatih penduduk Islam menentukan penyerang, mengekalkan agama dan kuasa syariah Tuhan,” lapor SITE. – REUTERS
Posting Komentar