Featured Post Today
print this page
Latest Post
Tampilkan postingan dengan label bilion. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label bilion. Tampilkan semua postingan

Kolej kroni tuntut RM15 bilion dari PTPTN

Harakahdaily

Harakahdaily, 25 Mei 2012
KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan PTPTN kini menjadi sumber kewangan untuk mengkayakan kroni Umno dalam perniagaan pendidikan mereka.

Tanpa menolak ada kebaikan yang dibawa PTPTN tetapi masalah yang dihadapi negara sekarang adalah penyalahgunaan tabung ini untuk kepentingan kroni ekoran kerangkanya yang tidak sihat.

Demikian kata anggota Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, dalam kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau mengulas kejayaan wakil Pakatan Rakyat dalam debat PTPTN, Rafizi Ramli baru-baru ini yang disifatkan beliau berjaya menyampai mesej PTPTN perlu dimansuhkan dan digantikan dengan pendidikan percuma.

Dr Dzulkefly juga melahirkan rasa kebimbangan dengan usaha Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang cuba mewajibkan semua pelajar lepasan SPM menyertainya kerana unsur salah guna kroni juga sudah berlaku sekarang.

"Saya mendapat maklumat tentang sebuah kolej swasta yang kini sedang memaksa dan menuntut PTPTN membuat bayaran RM15 bilion untuk membiayai pelajar mereka mengikuti kursus jururawat yang dikenakan RM90,000 seorang untuk seluruh pengajiannya," beritahu Dr Dzulkefly.

Kolej swasta ini, katanya, menawarkan kursus jururawat dengan jaminan kononnya kerja terjamin.

Atas alasan itu, kolej-kolej ini mengenakan yuran yang tinggi kepada pelajarnya dan yuran ini diperolehi dengan membuat pinjaman daripada PTPTN.

"Inilah bagaimana caranya kroni Umno ini memeras duit rakyat melalui PTPTN ini," kata beliau kepada Harakahdaily.

Kini, kata Dr Dzulkefly (gambar), berlaku lambakan graduan kursus jururawat  dalam pasaran kerana penawarannya sudah terlalu tinggi berbanding dengan keperluan negara.

"Sekarang kolej-kolej ini mula menuntut wang dari PTPTN untuk pelajar mereka. Pelajar yang keluar pula tidak ada pekerjaan, bagaimana mereka hendak bayar balik hutang ini.

"Hasilnya kerajaan yang terpaksa tanggung lalu membuat pinjaman dari institusi kewangan untuk mengisi tabung ini sebagaimana yang didedahkan Khairy (Jamaludin) dalam debat baru-baru ini," kata Dr Dzulkefly.

Khairy dalam Debat PTPTN baru-baru ini memberitahu, PTPTN membuat pinjaman dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan beberapa bank untuk mengisi tabung PTPTN yang hampir kering itu.

Pelajar pula hanya perlu membayar balik pinjaman yang mereka buat, manakala bunga atau faedah bank itu ditanggung oleh kerajaan, kata Khairy.

Bagi Rafizi, kerangka tanggungan pendidikan melalui sistem PTPTN itu menyebabkan negara menanggung terlalu banyak hutang dan akan sampai masa kerajaan tidak mampu menampungnya lagi.

Sebelum masa itu sampai, beliau meminta PTPTN dikaji balik dan Pakatan Rakyat mencadangkan pendidikan percuma ditawarkan kepada rakyat negara ini.

Menurut Dr Dzulkefly,  sekurang-kurangnya 19 negara di dunia memberi ‘pendidikan percuma’ dalam pelbagai pendekatan dan kaedah perlaksanaan di peringkat universiti.

Dari jumlah itu lapan negara yang tidak langsung mengenakan yuran universiti: Argentina, Brazil, Finland, Germany, Iran, Mexico, Sweden dan Arab Saudi.

"Rafizi Ramli jelas sandarkan hujjah beliau bahawa negara ini kaya. Benar, Bank Dunia mengiktiraf bahawa Malaysia adalah antara negara terkaya di dunia diukur di segi ‘sumber per kapita’. Sudah tentu sama atau lebih kaya dari kebanyakan negara tersenarai tadi," katanya.

Tegasnya, kata beliau, Rafizi berhujah bahawa negara yang menjana RM181 bilion pendapatan setahun ini mampu memberikan pendidikan percuma, seandainya rasuah dapat dikekang, ketirisan dikurangkan dan prioriti diperbetulkan.
0 komentar

Defisit RM22 bilion dalam Bajet 2013 hutang negara RM8 bilion – Anwar

(Oleh Mohd Martin Kahar)
KUALA LUMPUR 1 Oktober: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berlaku defisit sebanyak RM21.6 bilion dalam perbelanjaan Bajet 2013 disebabkan banyak ketirisan urus tadbir negara.
“Jika diperhatikan, sejak Najib menjadi Menteri Kewangan, saya khuatir keghairahan berbelanja ini sudah menjadi penyakit dan ketagihan,” katanya pada perbahasan Bajet 2013 di Parlimen hari ini.

Anwar berkata, bayaran khidmat hutang meningkat paling ketara sebanyak 56 peratus atau kepada RM8 bilion sejak Datuk Seri Najib Razak menjadi Menteri Kewangan pada 2009.
“Contoh peningkatan sejak 2009 hingga 2013…(ialah) RM8 bilion (diguna) untuk membayar khidmat hutang dan ia telah meningkat sebanyak 56 peratus. Subsidi pula dari 2009 hingga 2013 meningkat sebanyak (RM)17.2 bilion iaitu peningkatan 85 peratus.
“Bunyinya lunak untuk kebajikan, tetapi sebahagian besar subsidi ini hanya dinikmati oleh kroni mereka, tidak sampai ke golongan sasaran,” katanya
“Ini bermakna jumlah pinjaman baru mengikut data Bank Negara sejak 2009 hinga 2013 adalah (RM)184 bilion,” jelas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Menurutnya, perbelanjaan perbekalan dan perolehan melonjak 28 peratus kepada RM15 bilion, berbanding hanya RM7 bilion jika ia dilakukan melalui tender terbuka.
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, ketirisan tersebut boleh dimanfaatkan kepada rakyat terutama untuk memberi pendidikan percuma dan memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beliau berkata, perancangan ekonomi perlu kepada unjuran yang munasabah, kemudian dinilai sama ada sasaran itu berjaya dicapai atau sebaliknya.
Malangnya, kata Anwar, sejak Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, unjuran bukan sahaja tidak berjaya dicapai, malah tersasar jauh.
Beliau turut mengecam pendekatan ekonomi Umno BN yang lebih mengutamakan golongan maha kaya.

Katanya, pendekatan ekonomi harus adil dengan memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan isi rumah setiap keluarga.
“Harta tidak seharusnya berlegar kepada orang-orang kaya. Sebab itu, Pakatan Rakyat menekankan perancangan ekonomi perlu beralih daripada mengejar sasaran ekuiti dan pertumbuhan semata-mata kepada sasaran isi rumah minimum sebanyak RM4,000 sebulan setiap keluarga menjelang pentadbiran Pakatan Rakyat.

“Paras pendapatan isi rumah keluarga menjadi sasaran ekonomi utama untuk memastikan rakyat tidak ketinggalan dari arus pembangunan,” jelas Anwar.
Pakatan unjur garis panduan tingkat ekonomi

Beliau turut menggariskan beberapa pendekatan ekonomi dalam jangka panjang yang menjamin peningkatan pendapatan melalui sasaran seperti berikut:
1. Pertumbuhan ekonomi perlu dijana oleh usahawan kecil dan sederhana yang membentuk kelas perniagaan terbesar dalam ekonomi bukan hanya satu dua tauke besar yang membolot sebahagian besar ekonomi.
2. Pertumbuhan ekonomi bergantung kepada nilai tambah yang dihasilkan melalui peningkatan kemahiran dan kepakaran kerana peluang pekerjaan mempunyai pengaruh besar kepada ekomomi.
3. Peranan kerajaan dalam menjana ekonomi perlu dibatas kepada usaha mencambahkan bidang baru yang memesatkan kegiatan ekonomi secara strategik, bukan terlibat sama dalam kegiatan ekonomi dan bersaing pula dengan usahawan kecil serta pengusaha lain seperti yang berlaku oleh Khazanah Nasional.

Manakala pendidikan dan kemahiran yang khusus untuk berdepan dengan persaingan global adalah fokus kerajaan sebagai tangungjawab asas kepada rakyat untuk memesatkan ekonomi.
Dasar khusus yang menjamin paras gaji yang saksama juga perlu digubal demi menjamin kesejahteraan rakyat dan mengambil kira rakyat berpendapatan miskin dan rendah.
0 komentar
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cun blog - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger